Korperal didakwa terima suapan RM2,000 - Utusan Malaysia

Korperal didakwa terima suapan RM2,000

TERTUDUH, Abdul Wahab Musa dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku tidak bersalah menerima suapan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat korporal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini atas tiga pertuduhan menerima suapan bernilai RM2,000 tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Wahab Musa, 57, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Zamzani Mohd. Zain.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Wahab sebagai anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kuala Bera di Bera secara rasuah telah menerima suapan bernilai RM1,000 daripada Noor Azman Mohd. Noor sebagai dorongan untuk tidak menangkap anaknya, Aliff Haikal kerana memiliki kenderaan klon jenis Mitsubishi Lancer yang merupakan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi dua lagi pertuduhan seterusnya, tertuduh juga secara rasuah telah menerima suapan iaitu wang tunai bernilai RM500 setiap pertuduhan atas perkara dan daripada individu yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan Balai Polis Kuala Bera pada 19 Mei 2021 dan di rumah rakit Kampung Bukit Serdang, dekat Bera pada 2 Jun 2021 serta 5 September 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes tersebut dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, ketika prosiding berjalan tertuduh memohon rayuan agar wang jaminan dikurangkan kerana masih mempunyai tiga anak yang bersekolah, dua orang masih belum bekerja dan seorang isteri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sehingga perbicaraan kes itu selesai.

Kes disebut semula dan lantikan peguam pada 14 Jun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.