Kontraktor mengaku tidak bersalah tikam isteri - Utusan Malaysia

Kontraktor mengaku tidak bersalah tikam isteri

MOHD. Ghazali Nor Hisham (kiri) mengaku tidak bersalah atas dakwaan menikam isterinya menggunakan pisau pada Jumaat lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menikam isterinya dengan pisau dalam kejadian pertengkaran, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd. Ghazali Nor Hisham, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Aliza Hasan, 32, dengan menggunakan sebilah pisau di kediaman mereka di Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang pada pukul 10.30 pagi, 13 Mei lalu.

Tertuduh yang memakai baju t-shirt berwarna putih dilihat menyeka air matanya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah menetapkan RM10,000 sebagai wang jaminan selain syarat tambahan iaitu menyerah pasport antarabangsa miliknya, tidak dibenarkan mendekati mangsa atau mana-mana saksi serta perlu melapor diri sebulan sekali di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 19 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi pelantikan peguam oleh tertuduh dan juga penyerahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairi Mohamed Said, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, kejadian itu berpunca daripada satu pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri berkenaan berhubung tindakan mangsa menukar mangga pintu rumah mereka.

Lelaki itu kemudian didakwa telah mengambil pisau pemotong daging serta sebilah gunting dan cuba menikam isterinya di bahagian perut sebanyak tiga kali tetapi gagal.

Dia bagaimanapun berjaya menikam mangsa di bahagian punggung sebelah kanan menyebabkan mangsa cedera dan berlaku pendarahan.

Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Scientex yang menyebabkan mangsa menerima empat jahitan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Taman Scientex, pada pukul 12.49 tengah hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.