KOTA BHARU: Klip video memaparkan seorang pengawal keselamatan dipukul beberapa individu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, yang tular sejak semalam merupakan insiden yang berlaku pada 2015.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, walaupun sudah lama, insiden itu kembali hangat diperkatakan selepas ditularkan semula di media sosial.
Dr. Izani berkata, kes itu telah lama selesai dan mana-mana pihak tidak sepatutnya memuat naik semula video terbabit tanpa usul periksa sehingga menjejaskan nama baik HRPZ II dan negeri ini.
“Saya nasihatkan semua pihak yang menerima video ini supaya menyemak dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Kita lihat sejak akhir-akhir ini ramai pihak yang suka menyebarkan perkara lama dan diulang tayang sehingga menimbulkan konflik dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung isu itu dan mengesahkan kes berkenaan telah selesai.
“Sebaran video itu kembali ditularkan dan kita telah sedia maklum insiden ini berlaku sekitar 2015 lagi dan telah lama selesai,” katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 25 saat itu memaparkan insiden pergaduhan antara pengawal keselamatan dan orang awam yang tersebar sejak pagi tadi, sehingga mendapat respons pelbagai pihak. – UTUSAN