PETALING JAYA: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mendakwa laporan berita berhubung kemenangannya dalam kes saman dikemukakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali disekat.
Bekas Penasihat DAP itu menjelaskan, muka beliau akan dipaparkan di muka surat hadapan media-media cetak termasuk Utusan Malaysia sekiranya Mohamed Apandi menang saman tersebut.
“Muka saya akan dipaparkan di muka surat hadapan media-media cetak, sama ada The Star, New Straits Times, Berita Harian atau Utusan Malaysia sekiranya bekas Peguam Negara, Apandi Ali, menang saman RM10 jutanya terhadap saya, tetapi laporan ini disekat apabila saya menang.
“Sebelum Mei 2018, saya dianggap seperti tidak wujud kecuali untuk berita-berita yang buruk dan sekali lagi kini selepas Februari 2020 saya dianggap seperti tidak wujud kecuali hanya untuk berita-berita yang buruk.
“Ini adalah petanda kepada suasana kebebasan akhbar di Malaysia, yang tidak ada kaitan dengan sama ada terdapat lebih banyak pembaca di media atas talian atau media cetak,” katanya dalam blog beliau hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia dan media lain melaporkan Mohamed Apandi Ali gagal dalam kes saman fitnah RM10 juta yang difailkan terhadap bekas Penasihat DAP itu berhubung penerbitan artikel yang mendakwanya bersubahat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Laporan media memetik keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azimah Omar memutuskan demikian selepas mendapati artikel ditulis oleh Kit Siang kira-kira tiga tahun lalu tidak memfitnah bekas Peguam Negara itu.
Pada Julai 2019, Mohamed Apandi memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap Kit Siang berhubung penerbitan artikel yang mendakwanya bersubahat dalam skandal 1MDB.
Menurut afidavitnya, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” di dalam portal berita tempatan. – UTUSAN










