PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan, peningkatan tambang e-hailing ketika ini berpunca daripada penawaran dan permintaan yang tidak seimbang dan kesesakan lalu lintas tinggi menyebabkan masa perjalanan lebih lama.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, gabungan faktor berkenaan juga tmenjejaskan kualiti perkhidmatan e-hailing.
Beliau berkata, perkara itu diperoleh hasil pertemuan MOT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan pengendali e-hailing (EHO).
“Beberapa syarikat e-hailing memaklumkan mereka berdepan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda negara. Keadaan itu menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-hailing.
Ka Siong berkata, tempoh yang sama juga menyaksikan pergerakan orang ramai dapat bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa, sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.
Menurutnya, faktor-faktor ini dikesan mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh EHO merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran.
“Dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas serta surcaj dan kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj pula tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.
“EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka. Malah, EHO yang berkenaan juga telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini,” katanya. – UTUSAN










