KANGAR: Penyakit berjangkit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negeri ini meningkat lebih empat kali ganda dengan 497 kes direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 (18 Mei lalu) berbanding ME sama tahun lalu yang hanya 105 kes.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, majoriti penularan kes berlaku di pusat asuhan kanak-kanak (Taska) dan tadika.
Menurut beliau, sebanyak 20 premis Taska serta tadika diarahkan tutup 14 hari bagi proses sanitasi.
“Daripada jumlah itu, mukim Arau antaranya mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 70 kes diikuti Sena (54 kes) dan Sanglang (43 kes) dan lain-lain kawasan,” katanya di sini hari ini.
Kata Sirajuddin, pihaknya mengambil langkah mengekang penularan dengan mengarahkan pemilik menjalankan sanitasi di bahagian permukaan dalam dan luar premis selain proses sama terhadap permainan serta alat bantuan mengajar.
“Pihak jabatan juga memperhebatkan pendidikan kesihatan secara langsung kepada pihak pengurusan dan guru Taska serta tadika mengenai amalan kebersihan dan sanitasi rutin di premis masing-masing.
“Selain itu, pendedahan langkah kawalan perebakan penyakit berjangkit di Taska termasuklah membabitkan larangan berkongsi barangan peribadi, menggalakkan amalan mencuci tangan dan tanda-tanda awal kanak- kanak tidak sihat perlu diberi perhatian semasa saringan pintu masuk,” katanya.
Katanya lagi, risalah maklumat HFMD dan amalan kebersihan yang baik turut diedarkan kepada pusat Taska dan tadika selain pemantauan semula prosedur operasi standard (SOP) premis yang dibuka semula selepas penutupan akibat wabak.- UTUSAN