Kes bunuh kanak-kanak, wanita: Tarikh serahan dokumen 16 Jun

Kes bunuh kanak-kanak, wanita: Tarikh serahan dokumen 16 Jun

ANAK perempuan kepada Khalid Redza ketika hadir pada prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan,  hari ini. - UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban hari ini menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh serahan dokumen kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan dan wanita yang ditemukan mati dalam gaung, dihadapi oleh seorang peniaga, Khalid Redza Shuib, 41. 

Majistret Mohd. Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik yang belum diperoleh hari ini. 

Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan, 5,  susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lepas. 

Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29. 

Dia turut berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. 

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat No.518-1, Jalan Temiang, Taman Nee Yan di Seremban antara 3 hingga 17 Mac lalu. 

Pada prosiding berkenaan, peguam pemerhati, Datuk Hanif Hassan yang mewakili pihak keluarga Siti Syarifah turut hadir di mahkamah.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Seremban, Hakim Rushan Lutfi Mohamed turut menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh serahan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik bagi dua kes iaitu pengabaian kanak-kanak serta mencederakan wanita melibatkan Khalid Redza. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur yang boleh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. 

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama antara 1 Disember 2020 hingga 23  Mac 2022. 

Pada 7 April lalu, media melaporkan penemuan tengkorak, geraham dan cebisan tulang tersebut diperoleh hasil siasatan lanjut ke atas suspek utama kes penemuan mayat tanpa identiti dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah pada 20 Mac lalu. 

Suspek lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita dibawa ke kawasan belukar dekat tangki air dekat Taman Bukit Zamrud, di sini dan menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak itu ditanam. 

Tulang ber­kenaan dijumpai kira-kira 10 meter dari lokasi asal mangsa dikatakan ditanam dalam keadaan ber­taburan ditutupi dengan daun-daun kering dan pokok kecil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.