Kereta terbakar, orang awam berjaya selamatkan pemandu - Utusan Malaysia

Kereta terbakar, orang awam berjaya selamatkan pemandu

KEADAAN kereta yang dipandu seorang lelaki terbakar di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki sempat dikeluarkan orang ramai sebelum kereta dinaikinya terbakar dalam kemalangan di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini, pagi tadi.

Seorang saksi, Abdul Razak Ali, 37, berkata, lelaki berusia 48 tahun itu diselamatkan oleh beberapa penduduk kampung selepas melihat kereta jenis Chevrolet dipandunya terbabas kira-kira pukul 8.30 pagi.

“Ketika kejadian, saya dan rakan sedang bersarapan di kedai makan berhampiran jalan utama perindustrian. Tiba-tiba sebuah kereta langgar pembahagi jalan dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta Proton Saga di bahu jalan,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, kejadian itu menyebabkan enjin kereta mangsa terbakar.

“Beberapa penduduk kampung bergegas memeriksa keadaan mangsa dan membantu mengeluarkannya sebelum api menjadi marak.

“Mangsa dilihat mengalami kecederaan di pinggang dan dikejarkan ke hospital menggunakan kenderaan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM),” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nyat berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.37 pagi dan sepasukan enam anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi kita dapati sebuah kereta terbakar dan seorang lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam. Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut dan operasi berjaya dikawal sepenuhnya pukul 8.48 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya