GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat Exco Kesihatan Khas bersama doktor pelatih dan doktor junior di negeri ini bagi membincangkan mengenai isu di tempat kerja yang dihadapi mereka pada masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, mesyuarat itu akan diadakan selepas Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri diadakan dalam tempoh terdekat.
Jelas beliau, Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri itu diadakan bagi membincangkan isu membabitkan doktor pelatih dan doktor junior sekali gus mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.
”Saya juga telah memaklumkan isu ini kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan kepada mereka yang terlibat dengan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di HPP dilaporkan maut terjatuh selepas mayatnya ditemukan di pekarangan bangunan di Jalan Datuk Keramat di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut.
Menurut Norlela, Kementerian Kesihatan mempunyai ribuan kakitangan yang ikhlas dan bekerja keras untuk menyelamatkan ribuan nyawa.
”Saya telah menerima begitu banyak pandangan tentang isu yang dihadapi oleh doktor pelatih dan doktor junior serta cadangan tentang cara untuk merombak sistem sedia ada.
”Saya berharap Kementerian Kesihatan akan mengubah budaya menyimpan segala-galanya secara rahsia kerana ia amat mengecewakan kerana sukar untuk menembusi tembok ini bagi mendapatkan kebenaran dan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya. – UTUSAN









