PETALING JAYA: Keputusan kerajaan mengekalkan keperluan lesen import (AP) bagi mengimport beras dilihat langkah tepat menjamin kepentingan pesawah tempatan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Muhammad Fuad Yaacob berkata, lambakan beras import tanpa sebarang kawalan AP dibimbangi boleh menjejaskan hasil petani tempatan.
Katanya, ini kerana kilang yang menghasilkan beras sudah tentu tidak dapat bersaing dengan lambakan beras sekiranya pengimportan beras dari luar berlaku tanpa kawalan.
“Apabila berlaku lambakan (beras) dengan semua pihak boleh mengimport, kilang nak beli padi untuk hasilkan beras akan takut beras (tempatan) itu tak terjual.
“Mungkin kalau beli pun, harga padi akan jatuh dan itu akan menjejaskan hasi petani tempatan maka sebab itu perlunya AP beras bagi menjaga kepentingan pesawah.
“Macam tanaman kobis (yang dimansuh AP) cuma di beberapa tempat tetapi padi melibatkan ratusan ribu petani, itu yang kita bimbang jika tiada kawalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, kerajaan memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta.
Namun, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam perinciannya memaklumkan, hanya empat jenis komoditi agromakanan tertentu tidak lagi dikenakan AP atau kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport.
Ia melibatkan kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair dengan pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman pula berpendapat, kerajaan sepatutnya tidak memberi sebarang pengecualian pemansuhan AP terhadap pengimportan beras.
Katanya, dengan erti kata lain, monopoli kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu harus ditamatkan kerana sebahagiannya perlu diberikan kepada pemain industri yang dekat di hati rakyat.
“Contoh, Lembaga Pertubuhan Peladang, kawasan terlibat seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
“Mereka ini juga harus diberi peluang untuk dapat kuota tertentu, bukan sepenuhnya seperti Bernas.
“Dasar monopoli ini juga menjadi sebahagian kartel yang patut dielakkan. (Apabila AP beras dikekalkan), ini menjadi persepsi orang ramai bahawa Bernas itu merupakan kartel yang mendapat konsesi tertentu dari pihak kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN










