BENTONG: Banjir kilat yang berulang di Janda Baik di sini pagi semalam turut menjejaskan pengusaha inap desa dan resort di situ.
Rata-rata pengusaha menyifatkan kejadian tersebut boleh menyebabkan sektor ekopelancongan dan hospitaliti yang baru hendak pulih selepas ancaman Covid-19 dan banjir tahun lalu kembali merosot kerana pengunjung bimbang untuk menginap di situ.
Malah, mereka memohon kerajaan menyediakan pelan pembangunan jangka panjang bagi usaha pencegahan sebagai langkah menghindarkan banjir lumpur berlaku lebih teruk pada masa akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengusaha pusat inap, Esa Rahman berkata, senario banjir kali ini lebih teruk, sekali gus memberi kesan kepada pengunjung yang menginap di situ sehingga tidak selesa, malah turut mengejutkan mereka kerana tidak menyangka kejadian itu akan berlaku.
“Keadaan pusat inap di sini lebih kotor apabila air banjir berlumpur masuk ke premis ini dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk membersihkannya sedangkan ramai pengunjung luar yang sudah membuat tempahan untuk menginap di sini mulai minggu depan,” katanya di sini semalam.
Dalam kejadian pad akira-kira pukul 3 pagi itu, sebanyak 140 buah rumah membabitkan 450 mangsa di Janda Baik dikejutkan dengan kejadian kepala air semasa hujan lebat yang memasuki rumah dan menghanyutkan harta-benda termasuk kereta dibawa arus sehingga masuk ke sungai
Dakwa Esa, banjir kilat berpunca daripada projek pembangunan berdekatan sambil berharap kerajaan mengambil langkah pencegahan sebelum senario itu bertambah buruk akan datang.
Pekerja sebuah resort Janda Baik, Ali Fikri Samad pula berkata, selepas bangun pada awal pagi, dia terkejut apabila banjir kilat melimpah ke kawasan pusat inap tempat dia bekerja sejak lima tahun lalu.
“Banjir kilat ini juga mengejutkan pengunjung yang datang bercuti serta mengadakan majlis reunion bekas pekerja dan pelajar malam tadi yang kebanyakannya masih tidur ketika air naik,” katanya.

Pengusaha yang mahu dikenali sebagai Amran selanjutnya menambah, sekiranya banjir kilat kerap berlaku sudah tentu membantutkan kegiatan hospitaliti di situ yang sering disinggahi pelawat tempatan dan pelancong kerana berdekatan dengan Bandar Raya Kuala Lumpur.
“Kerajaan perlu berhati-hati dan merangka pelan pembangunan yang lebih mampan untuk pencegahan kejadian ini pada masa akan datang dan seeloknya mengawal penerokaan kawasan tertentu untuk pembangunan,” ujarnya.
Jelasnya, sebelum ini Janda Baik antara lokasi peranginan berasaskan kampung tradisional dan persekitaran hutan tropika di pinggir Banjaran Titiwangsa yang cukup aman dan tenteram tidak wajar diganggu sehingga penduduk dan pengusaha ekopelancongan di situ kehilangan pendapatan. – UTUSAN










