PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar menggesa Kerajaan Malaysia mendesak sebuah penyiasatan antarabangsa bebas dijalankan bagi menyiasat kematian wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh oleh tentera rejim Israel dengan pihak yang bersalah wajib dihukum.
Naib Presiden PKR itu berkata, wartawan yang terlibat dalam misi profesional berbahaya – membuat liputan berkenaan perang dan konflik bersenjata hendaklah dianggap sebagai orang awam dan dilindungi undang-undang Konvensyen Geneva 1949.
Justeru, katanya, pembunuhan bersasar itu merupakan salah satu tambahan kepada siri pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel perlu dikecam secara tegas.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Shireen yang juga seorang warga Palestin beragama kristian berumur 51 tahun merupakan seorang wartawan veteran berprofil tinggi yang telah lama membuat liputan berkenaan konflik Palestin-Israel, telah ditembak dengan peluru sniper di kepala beliau.
“Kita tidak boleh bertoleransi dengan keengganan mana-mana pihak media untuk menyatakan kebenaran mengenai pembunuhan kejam Shireen. Sebarang keganasan yang disokong dan ditaja oleh negara, termasuklah Ukraine mahupun Palestin wajar dikritik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. –UTUSAN










