Keluarga bekas suami wajib bayar nafkah

Keluarga bekas suami wajib bayar nafkah bekas isteri, anak

IKBAL SALAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Waris lelaki ke­pa­da bekas suami atau bapa akan dipertanggungjawabkan un­tuk membayar nafkah terhadap bekas isteri atau anak-anak jika pi­hak pertama tidak berupaya ber­buat demikian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Syarie, Datuk Ikbal Salam berkata, pembayaran nafkah berpindah daripada be­kas suami atau bapa kepada waris lelaki jika mendapati faktor kesihatan yang jelas menun­jukkan tidak lagi berkapasiti men­jana apa-apa pendapatan di atas kelemahan fizikal atau men­tal seperti terlantar kerana lumpuh.

Menurut beliau, berdasarkan Seksyen 69 dan 73 (2) Akta Un­dang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperincikan soal itu apabila mahkamah syariah hendaklah memerintahkan seseorang bertanggungan di bawah hukum syarak supaya membayar nafkah.

“Maksud pihak bertang­gu­ngan di bawah hukum Syarak adalah 13 waris lelaki mengikut tertib Asobah Faraid antaranya bapa si mati, datuk si mati atau adik beradik lelaki si mati.

“Misalnya suami atau bapa atas faktor kesihatan seperti lumpuh tidak mampu bayar, maka mahkamah boleh memerintahkan pihak bertanggungan itu seperti datuk, bapa atau adik beradik lelaki melunaskannya seperti dikehendaki,” jelasnya.

Ikbal berkata, tanggungjawab pembayaran nafkah juga berpindah dalam keadaan apabila bapa tidak lagi boleh dikesan setelah segala ikhtiar yang munasabah mencarinya dibuat atau bapa telah meninggal dunia.

“Selain itu, dalam senario di mana mahkamah berpuas hati bahawa bapa tidak lagi berupaya menanggung nafkah mereka,” katanya.

Menurut Ikbal, Seksyen 60 dan 73(2) adalah suatu manifestasi bahawa suatu kontrak perkahwinan akan dituruti de­ngan obligasi suami untuk me­nyara isteri dan anak-anak pada kadar yang munasabah mengikut uruf masyarakat dan kemampuan suami.

“Namun obligasi itu tidak berhenti setakat kepada suami dan akan berpindah kepada waris lelaki suami dalam ke­adaan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah syariah akibat ketidakupayaan suami atau ba­pa tadi,” kata beliau.

Sementara itu, Ikbal berkata, bekas suami atau bapa tidak terlepas daripada tanggungjawab membayar nafkah kepada isteri atau anak-anak walaupun sudah meninggal dunia sekiranya gagal melunaskan tanggungjawab itu sepanjang hayat.

Katanya, bekas isteri atau anak boleh membuat tuntutan nafkah tertunggak dan pembayarannya perlu diambil ke atas harta-harta pusaka milik si mati.

Beliau memberitahu ramai menganggap tanggungjawab ter­lepas meskipun ditarik nya­wa sehingga bekas suami atau bapa pandang sebelah mata bagi membayarnya sehingga dia masuk ke liang lahad.

“Misalnya, si mati sudah meninggal dunia tetapi dia ada nafkah tertunggak. Maka sebelum melakukan pembahagian harta pusaka dengan kaedah faraid, perlu diselesaikan nafkah tertunggak atau kata mudahnya selesainya sebagai hutang dahulu.

“Ramai tidak mengetahui perkara ini sehingga ambil mudah untuk membayar nafkah khususnya bagi yang berkemampuan. Nafkah tetap dibayar walaupun sama ada bekas suami atau bapa telah pun meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN