TUMPAT: Kerajaan Negeri Kelantan meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meneruskan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Keluarga Malaysia (EKM) bukan sahaja pada Hari Raya Aidilfitri malah pada musim perayaan lain.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan yang disediakan KTMB itu merupakan usaha yang sangat baik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di pintu masuk negeri ini setiap kali musim perayaan.
Beliau berkata, berdasarkan sambutan luar biasa terhadap perkhidmatan itu dengan tiketnya yang habis dijual dalam masa tiga jam, maka pihaknya melihat perkhidmatan itu wajar dikekalkan.
“Kita berharap perkhidmatan tren khas ini dapat disambung sama ada seminggu sekali, atau sebulan sekali supaya dapat digunakan oleh perantau yang pulang ke kampung terutamanya pada musim cuti perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi pelepasan Tren EKM di stesen KTMB Wakaf Bharu, di sini malam tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan kajian mengenai perkhidmatan berkenaan.
“Kita menyambut baik sokongan kerajaan negeri terhadap usaha pihak kami namun masih belum dapat mengemukakan sebarang keputusan setakat ini.
“Berdasarkan kajian yang dilakukan, kita mendapati sambutan luar biasa terhadap tempahan tiket yang dibuka sejak 15 April lalu dan dalam masa tiga jam lebih 70 peratus tiket telah habis dijual,” katanya.
Tren EKM menawarkan sebanyak 696 tempat duduk bagi laluan Tumpat-KL Sentral dan mengikut rekod KTMB, sebanyak 803 tiket terjual dengan perjalanan pergi balik Kuala Lumpur-Tumpat pada 29 April lalu serta Tumpat-Kuala Lumpur malam tadi.
Jumlah tiket dijual melebihi tempat duduk ditawarkan berikutan terdapat penumpang turun dan naik di beberapa stesen di sepanjang laluan tersebut.
Tren EKM yang berlepas pada pukul 10.50 malam tadi dari Stesen Wakaf Bharu, di sini dijadual tiba di KL Sentral pada pukul 3.04 petang ini. – UTUSAN










