`Kelam-kabut' sedia juadah raya - Utusan Malaysia

`Kelam-kabut’ sedia juadah raya

SITI Nur Atiqah Othman dibantu adiknya, Muhammad Aiman memasak pulut untuk dibuat ketupat sebagai juadah hari raya di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, malam tadi. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Ramai dalam kalangan umat Islam malam tadi  ‘kelam-kabut’ sebaik mendengar  pengumuman Hari Raya Aidilfitri disambut esok.

Ini kerana ramai  yang merancang membuat persiapan terakhir termasuk menyediakan juadah pada esok kerana mereka menjangkakan tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa.

Sebaliknya, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Danial Syed Ahmad malam tadi yang mengumumkan Hari Raya Aidilfitri disambut umat Islam di Malaysia esok.

Seorang suri rumah, Siti Nur Atiqah Othman,31, dari Taman Ria Jaya di sini berkata, dia terkedu seketika apabila diumumkan 1 Syawal disambut esok kerana belum membuat persiapan  juadah hari raya.

“Saya dan suami bercadang untuk memasak ketupat dan rendang pada esok kerana percaya hari raya jatuh pada Selasa.

“Terkejut apabila pengumuman menetapkan Isnin sebagai tarikh menyambut raya menyebabkan saya terpaksa masuk ke dapur menyiang daging dan memasak pulut,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.

Ramli Ismail, 42, dari Taman Intan di sini pula berkata, dia bergegas keluar membeli barangan untuk memasak juadah hari raya malam tadi.

“Ada beberapa jenis rempah ratus dan barangan keperluan lain untuk memasak juadah termasuk gulai ayam untuk dimakan bersama nasi beriani.

“Nasib baik saya sempat membeli dua ekor ayam di pasar raya mini berdekatan yang masih dibuka malam tadi,” katanya.

Tukang jahit

Aishah Ali, 32, dari Taman Nilam di sini pula berkata, dia terpaksa pergi ke rumah tukang jahit pada lewat malam untuk mengambil baju kurung yang dibaiki jahitan untuk dipakai pada pagi hari raya.

“Saya terus menghubungi tukang jahit apabila diumumkan Hari Raya Aidilfitri disambut esok.

“Ini kerana baju kurung saya itu sepatutnya siap dijahit esok,” katanya.

Sementara itu, di ibu negara, pergerakan kenderaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak mula meningkat setakat pada pukul 9.39 malam.

Makluman di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Trafik berkata, kesesakan  berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) daripada Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan Bukit Tinggi ke Bentong.

Selain daripada itu, aliran trafik di laluan KLK juga perlahan dari Lentang ke Bentong.

Selain itu, aliran trafik menuju ke utara di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) turut  bergerak perlahan di laluan Sungkai ke Tapah ke Gopeng.

Aliran trafik turut juga dikesan perlahan di laluan Slim River ke Bidor, Tapah ke Gopeng (kawasan mendaki) dan Bandar Baharu ke Jawi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya