Kelam-kabut masak nasi dagang tempahan pelanggan - Utusan Malaysia

Kelam-kabut masak nasi dagang tempahan pelanggan

MUHAMMAD Hakim Shafiai mengacau gulai ikan aya untuk nasi dagang yang ditempah pelanggan pada Hari Raya Aidilfitri ketika ditemui di rumahnya di Taman Mas, Bukit Payung di Marang, semalam. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Terkejut dengan pengumuman Hari Raya Aidilfitri, mendorong seorang pengusaha nasi dagang di Bukit Payung di sini memilih kaedah pantas untuk menyiapkan juadah ditempah lima pelanggan pada 1 Syawal.

Muhammad Hakim Shafiai, 29, berkata, masa yang suntuk menyebabkan beras hanya dapat direndam lapan jam berbanding biasanya 12 jam.

Katanya, proses memasak tujuh gantang nasi dagang atau bersamaan untuk dimakan oleh 300 orang itu bermula pada pukul 10 malam.

“Memandangkan beras hanya direndam  lapan jam, maka saya terpaksa memanjangkan tempoh mengukus nasi dengan tambahan antara 15 ke 20 minit berbanding kebiasaan cuma 30 minit.

“Mengikut perancangan awal, tempahan nasi dagang mahu dimasak pada malam ini selepas selesai berbuka puasa tetapi apabila dapat tahu tiba-tiba raya, kelam-kabut dibuatnya, mujurlah semua persiapan sudah dibuat termasuk memotong bawang dengan lebih awal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Muhammad Hakim, bagi lauk-pauk pula, gulai ikan aya dan acar siap dimasak pada pukul 3 pagi dengan proses membungkus dilakukan selepas solat Subuh.

Katanya, tempahan nasi dagang itu dihasilkan dengan bantuan ibunya, Normah Sulong, 70, di samping isteri, Nazwa Ahmad Pahmin, 25.

“Kami tidak tidur malam sebab kesemua lima pelanggan dari Kuala Terengganu mengambil tempahan masing-masing pada pukul 7 pagi bagi dimakan untuk sarapan pagi pada hari raya pertama.

“Sepanjang lebih 20 tahun emak mengambil tempahan nasi dagang, ini merupakan kali pertama situasi begini berlaku,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.