PETALING JAYA: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menanggung impak besar di sebalik kejatuhan ringgit berikutan terpaksa berdepan peningkatan kos dalam bahan mentah dan barangan separuh siap yang diimport.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, kebanyakan PKS yang perlu mengimport barangan bagi menghasilkan produk akhir kepada pengguna terbeban kerana terpaksa meningkatkan kos operasi.
Tambahan pula katanya, selepas penularan Covid-19 dua tahun lalu, PKS beroperasi dengan margin yang sangat ketat, mengakibatkan pelarasan harga tidak dapat dielakkan.
“Keadaan ini turut memberi tekanan kepada pengguna yang perlu membayar lebih disebabkan keadaan ringgit yang lemah.
“Sebabnya kami terpaksa menaikkan harga kerana harga bahan mentah yang diimport meningkat sejak kebelakangan ini,” katanya.
Pada 19 Mei, ringgit mencatatkan prestasi terendah berbanding dolar Amerika Syarikat dalam hampir dua tahun pada kadar 4.4023, Berbanding 4,1030 pada awal Mei 2021.
Kali terakhir ringgit mencecah paras terendah berbanding dolar ialah pada 24 Mac 2020 apabila didagangkan pada 4.4385/4.4385.
Semalam, ringgit diniagakan 4.3868/4.3917 berbanding dolar AS.
Mata wang negara juga didagangkan rendah berbanding mata wang serantau antaranya dolar Singapura yang mencatat paras tertinggi kelmarin pada RM3.1950 dan semalam pada RM3.1911, serta Thailand pada RM12.808.
Justeru, William berkata, PKS harus berusaha ‘melawan’ kejatuhan ringgit itu dengan menumpukan pada meningkatkan produktiviti mereka melalui pendigitalan dan automasi.
Katanya, dengan itu, beberapa proses yang tidak penting boleh diperoleh daripada sumber luar.
“Kita seharusnya tidak lagi tertumpu pada label ‘Buatan Malaysia’ sebaliknya beralih kepada model ‘inovasi di Malaysia.’
“Dengan berbuat demikian, pengeluaran boleh disalurkan ke negara yang mempunyai kos buruh, bahan mentah dan logistik yang lebih rendah, sementara kita mengekalkan kawalan pengedaran dan harta intelek,” ujarnya.
Mengulas mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.0 yang ditetapkan baru-baru ini, beliau berkata ia harus dilakukan bagi mengekang inflasi namun perlu dilakukan secara beransur-ansur.
“Walaupun kebanyakan PKS dalam proses pemulihan, keadaan semasa kekal mencabar memandangkan peningkatan kos dan peningkatan mendadak dalam kos buruh,” ujarnya. – UTUSAN










