ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tetap dengan pendirian untuk menghalalkan ketum bagi tujuan perubatan dan eksport dan kini menunggu kelulusan daripada kerajaan Pusat.
Malah, penanaman secara berskala besar yang dilaporkan di empat daerah negeri ini iaitu Padang Terap, Baling, Sik dan Pendang turut membuktikan kerajaan negeri kelihatan akur dengan tuntutan pekebun untuk meneroka tanaman tersebut yang memberi pulangan lebih lumayan berbanding getah dan padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, kerajaan negeri mengharapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat memberi kelulusan tersebut untuk membolehkan Kedah mengeksport ketum selepas ini.
Menurutnya, pada masa ini, penanaman ketum didapati berleluasa di beberapa daerah di negeri ini, namun hasil daun ketum dipasarkan melalui cara yang salah.
Katanya, keadaan tersebut hanya merugikan kerajaan kerana daun ketum mempunyai pasaran yang tinggi terutama di luar negara.
“Kerajaan sudah banyak menghabiskan kewangan dan tenaga kakitangan awam yang terpaksa dikerah bagi menghalang penyeludupan ketum, sedangkan ia boleh diatasi dengan menghalalkan eksport bahan itu,” katanya di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Azman memberitahu, penduduk di negeri ini supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang untuk mengelakkan mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952.
“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan tidak menyalahgunakan daun ketum sehingga memudaratkan kesihatan,” ujarnya.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd. Yusrizal Yusoff pula berkata, pihaknya menyokong hasrat kerajaan negeri bagi menjadikan tanaman ketum sebagai tanaman eksport dan perubatan di negeri ini.
Katanya, KDN dan Kementerian Kesihatan wajar segera memberi kebenaran untuk menanam ketum untuk tujuan perubatan dan dieksport.
“Agensi berkenaan boleh melakukan kawasan terhadap penanaman ketum di negeri ini untuk mengelakkan disalahguna,” katanya.

Utusan Malaysia Jumaat lalu melaporkan walaupun perniagaan ketum di negara ini belum dihalalkan, sebahagian petani di daerah Baling, Sik, Padang Terap dan Pendang kini menanam ketum dalam skala besar kerana lebih menguntungkan berbanding tanaman lain.
Ekoran itu mereka mula menukar corak pertanian daripada tanaman getah, buah-buahan dan sayur-sayuran kepada tanaman ketum.
Malah, banyak kawasan baharu diteroka semata-mata untuk diusahakan dengan tanaman tersebut sejak tahun lalu termasuk yang diusahakan secara terbuka di tepi jalan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau mengakui terdapat sebahagian pekebun ketum di negeri ini mula menguruskan kembali tanaman tersebut
selepas kerajaan negeri mencadangkan daun ketum dibenarkan untuk dieksport.
Menurutnya, penanam percaya permintaan daun ketum meningkat sekiranya kerajaan Pusat meluluskan cadangan tersebut.
“Di Padang Terap, tanaman ketum sudah lama diusahakan, malah tiap-tiap rumah ada tanam pokok ketum,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, beliau percaya tanaman ketum di negeri ini tidak akan menjejaskan status negeri ini sebagai Jelapang Padi pada
masa hadapan.
“Saya fikir belum sampai situlah (menjejaskan kawasan tanaman padi). Belum sampai sini, cumanya masyarakat nampak semacam ada,” ujarnya.- UTUSAN