PETALING JAYA: Ekonomi negara cuma boleh dipulihkan dengan adanya pengawalan terhadap ketirisan dan rasuah, bukan dengan pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mengikut kawasan serta wilayah.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, meskipun GST merupakan satu penyelesaian paling mudah untuk dilaksanakan kerana ia pernah dilaksanakan sebelum ini, namun ia cuma menambahkan beban rakyat termasuk peniaga.
Katanya, ini kerana semasa GST diperkenalkan dahulu, sebanyak RM19 bilion wang yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga telah dipegang oleh kerajaan berbulan-bulan lamanya menyebabkan peniaga tidak cukup tunai dan terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.
Selain itu ujarnya, hasil kutipan GST itu juga tidak dilihat ke mana perginya atau sama ada ia benar-benar membantu rakyat walaupun RM45 billion dikutip setiap tahun.
“Apabila peniaga mengutip GST daripada pembeli, duit itu kemudiannya diberi kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan masuk ke Kumpulan Wang Disatukan.
“Kebiasaannya ada bayaran balik dan kerajaan sepatutnya kena pulangkan dalam masa dua minggu. Tetapi masalahnya kerajaan tak bayar balik sehingga RM19 bilion dipegang dan mungkin dibelanjakan untuk benda lain. Ada yang tak dapat sampai setahun lebih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, pakar ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali menyarankan pelaksanaan GST perlu dilaksanakan mengikut kawasan serta wilayah.
Ia bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan ketidaktentuan ekonomi dan nilai ringgit yang lemah ketika ini.
Justeru, Ahmed Razman berkata, pendekatan yang sepatutnya di ambil untuk membantu ekonomi negara adalah dengan menumpukan bagaimana perbelanjaan kerajaan dapat dikawal supaya tidak berlaku ketirisan dan rasuah.
Katanya, dianggarkan negara kehilangan lebih RM60 billion setahun akibat rasuah, melebihi jumlah kutipan GST tahunan.
“Jika rasuah dan ketirisan dapat dibanteras, tidak perlu GST malahan hasil kerajaan sedia ada sudah cukup untuk membantu rakyat.
“Jadi selagi masalah ketirisan dan rasuah tak dipulihkan, selagi itu tak dapat membantu ekonomi negara. Kutipan hasil mungkin naik dengan GST, tetapi dijangka kebocoran akibat rasuah akan bertambah
“Maka kutip duit banyak-banyak tak pergi ke rakyat, namun pergi ke poket orang lain. Kek makin besar, tetapi rakyat dapat serdak,” jelasnya. – UTUSAN










