MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terkunci dalam sebuah kereta selepas ditinggalkan seorang diri oleh ibunya yang singgah di rumah keluarga di Taman Limbongan Permai di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Abd. Rahman berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.30 malam dan sepasukan 11 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kita dapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terkunci dalam kereta jenis Proton Saga. Mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa lapan minit dan diserahkan semula kepada keluarganya dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azlan memberitahu, pihaknya dimaklumkan kejadian berlaku selepas kanak-kanak itu ditinggalkan seorang diri oleh ibunya yang singgah di rumah keluarga.
“Si ibu telah meninggalkan anaknya dengan keadaan enjin dihidupkan untuk singgah ke rumah keluarganya. Kejadian itu juga disedari wanita berkenaan yang terlihat anaknya bermain-main menekan kunci kenderaan itu sehingga terkunci,” jelasnya. – UTUSAN










