Kanak-kanak cedera jari kaki kanan tersepit eskalator - Utusan Malaysia

Kanak-kanak cedera jari kaki kanan tersepit eskalator

ANGGOTA bomba dibantu orang ramai mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit pada eskalator di sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan apabila jari kaki kanannya tersepit pada eskalator di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.54 petang.

“Menerusi laporan awal, kaki kanak-kanak tersebut dimaklumkan tersepit di eskalator yang berada di tingkat dua, pusat membeli belah tersebut. Sebaik sahaja tiba di lokasi, beberapa peralatan digunakan untuk melepaskan kaki kanak-kanak tersebut. Kaki kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 3.15 petang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu seorang saksi yang enggan dikenali memaklumkan, kaki kanan kanak-kanak tersebut dipercayai tersepit setelah selipar dipakainya memasuki bahagian dalam eskalator berkenaan.

Ketika kejadian, katanya, difahamkan kanak-kanak itu sedang menggunakan eskalator berkenaan untuk turun dari tingkat tiga sebelum kakinya tersangkut di sebelah kanan eskalator tersebut.

“Sebaik sahaja kaki kanak-kanak itu tersepit, pihak penyelenggaraan pusat membeli-belah tersebut mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkannya namun gagal. Kanak-kanak itu beberapa kali menjerit kesakitan ketika kakinya cuba dikeluarkan namun dia berjaya ditenangkan dan orang ramai turut bertepuk tangan selepas pihak bomba berjaya menyelamatkannya,” katanya.

Difahamkan kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.