MELAKA: Kelompok artis dan ahli politik digesa untuk mengemukakan fakta sebelum melontarkan sebarang komen bersifat populis berhubung isu penggunaan kanabis dalam bidang perubatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, hujah mestilah disertakan dengan kajian yang terbukti bahawa kanabis selamat digunakan.
“Saya kongsikan kajian di Amerika Syarikat dan hanya dua penyakit iaitu Chronic Pain dan Multiple Sclerosis Spasticity sahaja yang menunjukkan bahawa kanabis mampu untuk memberikan rawatan.
“Penyakit lain termasuk penyakit saraf, ketagihan, masalah mental, shcizophrenia dan gangguan tekanan selepas trauma tiada bukti yang kukuh menunjukkan kanabis berkesan untuk merawat penyakit tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Akmal berkata, segala perkara melibatkan soal kesihatan rakyat perlu dibuktikan dengan kajian yang sangat teliti termasuk mengenai kesan baik dan buruk sesuatu kaedah perubatan itu.
“Apa jua yang melibatkan polisi kesihatan rakyat ia perlulah dilakukan kajian yang sangat teliti mengenai baik dan buruknya bukanlah hanya bersifat populis semata-mata.
“Jadi sepatutnya kita menggesa pihak berwajib untuk melakukan lebih lagi kajian mengenai penggunaan kanabis ini sebagai bahan ubatan, bukan terus meminta ia diluluskan tanpa bukti kukuh,” katanya.
Beliau menambah, setiap keputusan yang dibuat kerajaan hari ini amat penting kerana ia akan menentukan masa depan generasi masa hadapan.- UTUSAN