PETALING JAYA: Kabinet hari ini bersetuju agar lesen import (AP) gandum dibatalkan sebagai susulan daripada pengumuman kerajaan sebelum ini yang berkaitan pemansuhan AP bahan makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna rakyat.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.
“Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










