mengaku tidak bersalah

Juruteknik mengaku tidak bersalah pukul warga emas

MUHAMMAD Zulkifli Che Su dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret dengan seorang penjamin selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zainol Din Hussein di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan kepada warga emas di Padang Jawa, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Su membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, juruteknik sebuah syarikat automotif berusia 24 tahun itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zainol Din Hussein, 61, kira-kira pukul 12 tengah hari di Jalan Padang Jawa.

Justeru, Muhammad Zulkifli dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 serta syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu larangan mengganggu mangsa sehingga perbicaraan selesai.

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili Muhammad Zulkifli, Abi Mursyidin Awal Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz meminta jumlah jaminan tersebut dikurangkan dan tidak dilihat sebagai menghukum tertuduh.

“Untuk pengetahuan tuan, tertuduh merupakan seorang yang bekerja sebagai juruteknik dekat sebuah bengkel kereta dengan gaji RM1,800 sebulan selain perlu menanggung ibu bapanya di kampung dengan memberi saraan setiap bulan. Tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Wang jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah sepanjang perbicaraan dan sehingga kini tiada masalah untuk dia memberi kerjasama kepada polis serta hadir ke mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan dan saya mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan mematuhi syarat tambahan” katanya.

Muhammad Syafiq kemudian menetapkan Muhammad Zulkifli diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan mematuhi syarat tambahan selepas Erneetha dalam kenyataan balas menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Mahkamah, kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Julai ini.

Sebelum ini, tertuduh ditahan polis pada Ahad lalu dan direman empat hari selepas dilaporkan memukul seorang lelaki warga emas di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa menerusi sebuah video tular dalam media sosial.

Tertuduh yang menunggang motosikal dikatakan berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan warga emas berkenaan dengan menjerit dan memarahi mangsa.

Ketika kejadian, Zainol Din yang juga pesara swasta memandu bersama isteri dan cucunya menuju ke Putrajaya pukul 12 tengah hari.

Ketika membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, Muhammad Zulkifli menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 datang ke arah mangsa yang berhenti di tepi jalan sebelum menendang dada kirinya dan menumbuk muka serta kepala bertubi-tubi sehingga terjatuh.

Bagaimanapun, mangsa semalam dalam sidang akhbar di rumahnya di lokasi sama memberitahu memaafkan tertuduh, namun menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Zainol Din, walaupun teruk diperlakukan seperti video tular dalam media sosial, dia bersedia memaafkan lelaki terbabit dan enggan isu berkenaan berlarutan walaupun laporan polis sudah dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya