Jurulatih wushu dipercayai cabul kanak-kanak didakwa esok

Jurulatih wushu dipercayai cabul kanak-kanak didakwa esok

MOHD. ZAID HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih wushu yang ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan gangguan seksual (cabul) terhadap pelajarnya berusia 13 tahun akan didakwa esok. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, jurulatih berusia 31 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya. 

Menurut beliau, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak melibatkan 10 pertuduhan. 

“Pertuduhan tersebut melibatkan kesalahan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa. 

“Suspek juga akan dituduh di bawah Seksyen 16(1) akta sama kerana orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih telah melakukan kesalahan seksual terhadap mangsa,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, sebelum ini, pengadu iaitu bapa mangsa mendakwa kanak-kanak itu telah mengalami gangguan seksual daripada jurulatih wushu berkenaan di rumah suspek pada 11 Februari hingga 19 Februari lalu.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji memaklumkan, telah menahan jurulatih wushu kerana dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan, Isnin lalu. 

Katanya, suspek yang bertugas di sebuah akademi wushu di Cheras juga pernah ditahan polis daerah Kajang atas tuduhan sama. 

Suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dalam dua kejadian berasingan awal April lalu. 

Habibi berkata, terdapat empat kes melibatkan suspek yang kini sedang disiasat masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN