Jenazah pelajar USAS selamat dikebumikan di Parit Buntar - Utusan Malaysia

Jenazah pelajar USAS selamat dikebumikan di Parit Buntar

SEORANG ahli keluarga Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis menyiram air mawar di atas kubur Allahyarham pada pengebumian di Masjid Hijau Kampung Kedah, Parit Buntar malam tadi. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Jenazah pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau, Kampung Kedah di sini pada pukul 11.20 malam.

Pengebumian dihadiri seramai kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Ahmad Akmal, seorang daripada pelajar yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar semalam, disembahyangkan di Masjid Permaisuri Bainun, USAS di Kuala Kangsar.

Sementara itu, bapa saudara Allahyarham, Yuzambree Ramlee Mohd. Yunus, 46, mengakui terkejut dengan berita kematian anak saudaranya itu.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anak saudaranya itu lima hari lalu sebelum Ahmad Akmal kembali ke kolej.

“Dia tidak banyak bercakap seperti mana biasa semasa pulang beraya di kampung baru-baru ini.

“Kemalangan yang menimpa dia dan empat lagi rakannya amat mengejutkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam kemalangan sekitar pukul 12.52 tengah malam semalam di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, lima rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler masing-masing membawa muatan mozek dan besi pagar.

Selain, Ahmad Akmal, turut terkorban ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Iqbal Hasnun Halimi 23. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN