Jemaah haji pertama berangkat ke tanah suci 4 Jun

Jemaah haji pertama berangkat ke tanah suci 4 Jun

jemaah haji
IDRIS Ahmad merasmikan Ar Rahnu Yapeim Akses dan Yapeim Gold Akses Muar di pekarangan Bangunan Mara, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijangka berlepas ke tanah suci menunaikan Rukum Islam kelima itu pada 4 Jun ini berbanding perancangan awal pada 31 Mei.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, penundaan itu ekoran pengurangan jumlah jemaah yang akan menunaikan ibadah itu berbanding kebiasaannya.

Malah, beliau memaklumkan, anjakan tarikh berkenaan juga berdasarkan rundingan dengan syarikat penerbangan.

“Sebelum ini ada kira-kira 80 penerbangan jemaah haji tetapi berkurangan separuh tahun ini. Manakala, bagi tahun-tahun sebelum ini jumlah jemaah haji kira-kira 30,000 orang.

“Namun tahun ini, jumlah jemaah hanya 14,000 orang. Baru sahaja saya bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (Tabung Haji) tanya macam mana penerbangan haji dan beliau jawab kemungkinan dianjak kepada 4 Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ar Rahnu Yapeim Akses dan Yapeim Gold Akses Muar di pekarangan Bangunan Mara, di sini.

Dalam masa yang sama, Malaysia juga masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan 5,000 lagi bagi musim haji kali ini.

Sebelum ini, bakal jemaah Malaysia perlu akur dengan beberapa syarat kesihatan yang ditetapkan Arab Saudi dan dianggarkan lebih 1,000 jemaah terpaksa menolak tawaran disebabkan beberapa faktor termasuk masalah kesihatan.

Sementara itu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1442H/2022M secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Mei sehingga 29 Mei 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, objektif utama Tabung Haji menganjurkan Kursus Perdana Haji itu adalah bagi melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan dan berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji kelak.

Katanya, ini kerana ia merangkumi pendedahan terakhir terutama amali mengenai ibadat haji yang bakal ditunaikan mereka kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN