KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ‘memperbetul’ kenyataan pencabarnya, Rafizi Ramli yang kononnya dikatakan memberi laluan mudah kepadanya untuk memegang semula jawatan Setiausaha Agung PKR sejak 2016.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Saifuddin Nasution berkata, keputusan meletakkan mana-mana individu untuk jawatan Setiausaha Agung adalah kuasa Presiden parti itu.
“Jawatan Setiausaha Agung PKR adalah prerogatif Presiden bukan Rafizi. Jadi, tidak benar Rafizi beri laluan.
“Dia turun naik mahkamah masa itu kes National Feedlot Corporation (NFC) dan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) kerana dedah akaun bank. Sebab itu Presiden lantik saya semula untuk ringankan beban Rafizi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp semalam.
Terdahulu, Rafizi berkata, beliau berkorban demi membantu Saifuddin Nasution ketika ‘hilang kerja’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum 2013 menentang calon UMNO di Kulim-Bandar Baharu. Beliau bagaimanapun menang di kawasan sama, pada 2018.
Rafizi memegang jawatan Setiausaha Agung PKR sejak 2014 selepas menggantikan Saifuddin Nasution yang menggalas tanggungjawab itu antara tahun 2010 hingga 2014.
Ketika itu, Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula dilantik sebagai pengarah pilihan raya parti.
Bagaimanapun, Rafizi meletak jawatan pada 25 November 2016, sekali gus Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika itu memaklumkan jawatan tersebut dipikul Saifuddin Nasuition berkuat kuasa 26 November 2016.
Pemilihan PKR bermula 13 Mei hingga18 Mei ini menyaksikan pertembungan antara Saifuddin Nasution dan Rafizi bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
Berhubung isu ‘khemah besar’ yang memperlihat Rafizi meletakkan pemilihan parti kali ini sebagai satu referandum yang mana ia mempunyai dua pilihan iaitu ‘perang’ atau ‘runding’, Saifuddin Nasution berkata, PKR tidak pernah berbincang mengenainya.
“Jika ahli nak perang pilih Rafizi, jika nak runding pilih Saifuddin, jawapan saya parti tidak pernah bincang khemah besar. Idea ini hanya di peringkat Pakatan Harapan (PH). Tiada apa-apa keputusan, sekadar penyataan bahawa PH amal politik terbuka.
“PKR pula tiada bincang dalam parti. Oleh demikian, sama ada khemah besar atau tidak, perang atau runding bukan keputusan Rafizi atau Saifuddin. Itu keputusan PKR.
“Saya pula dah terbukti berperang sejak 1998 bersama parti dan waktu itu Rafizi masih belajar di London,” ujarnya. – UTUSAN











