BAGAN SERAI: Kerajaan negeri bersiap sedia menyediakan bekalan makanan ruji yang mencukupi untuk rakyat bagi menghadapi kemungkinan berlakunya inflasi makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, antaranya kerajaan negeri mengambil berat tentang penghasilan padi untuk beras bagi menjamin bekalan makanan utama itu mencukupi jika berlaku krisis bekalan makanan.
“Walaupun ketika ini kita bergantung beras import sebanyak 30 peratus namun kita berusaha sedaya upaya meningkatkan hasil pengeluaran padi tempatan. Ini bagi menjamin bekalan makanan ruji ini mencukupi untuk rakyat tempatan.
“Pelbagai kaedah dan langkah sedang dijalankan bagi menggandakan hasil keluaran padi untuk setiap hektar,” katanya selepas menyampaikan kek kepada guru sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Buluh di sini hari ini.
Menurut Razman, pada masa ini satu hektar tanah sawah hanya mampu menghasilkan 3.1 tan metrik padi.
Beliau berkata, sekiranya jumlah itu dapat ditingkatkan dua kali ganda, bekalan beras cukup untuk rakyat tempatan.
“Kita tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada beras import kerana bimbang negara pengeluar beras mengambil langkah tidak mengeksport hasil pengeluaran mereka.
“Ini boleh berlaku sebagaimana langkah yang telah diambil oleh kerajaan India yang tidak lagi mengeksport gandum,” katanya. – UTUSAN










