fbpx

26 Jun 2022, 10:33 am

  TERKINI

‘Jangan ulangi isu kelewatan penerbangan menjelang Hari Wesak, Hari Gawai ini’ – Alexander

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan AirAsia supaya tidak lagi mengulangi isu kelewatan penerbangan terutama menjelang Hari Wesak dan Hari Gawai akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau akan terus menjaga hak pengguna dalam isu tersebut serta memastikan isu berkenaan tidak berulang pada masa depan.

Beliau berkata, isu membabitkan operasi penerbangan pula akan diselia mengikut bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Kementerian Pengangkutan.

“Saya ingin tegaskan isu kebajikan pengguna (penumpang) tidak lagi terjejas menjelang beberapa cuti umum yang akan datang dan paling hampir ketika ini ialah Hari Wesak dan Hari Gawai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Berhubung isu kelewatan penerbangan baru-baru ini, Alexander berkata, AirAsia mengemukakan empat punca utama yang menyumbang kepada kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan membabitkan pelbagai destinasi.

Katanya, AirAsia menjelaskan mereka berdepan jumlah pesawat yang terhad dan ketika ini hanya menggunakan 40 pesawat berbanding 95 pesawat sebelum ini susulan kekurangan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di rantau ini.

“Mereka (AirAsia) turut berdepan kekangan operasi dan kawal selia memandangkan sesetengah negara masih memerlukan keputusan ujian RT-PCR sebelum penerbangan. Keadaan itu menyebabkan berlakunya kelewatan ditambah peningkatan mendadak jumlah penumpang susulan musim perayaan dan pembukaan sempadan negara,” katanya.

Katanya, AirAsia turut memaklumkan beberapa pesawat mereka berdepan isu teknikal sejak minggu lalu dan ia memerlukan lebih masa untuk pemeriksaan dan pemantauan.

Alexander berkata, mereka turut memaklumkan berdepan isu serangan burung pada enjin pesawat serta panahan kilat pada pesawat seperti dilaporkan di Langkawi dan Ipoh sebelum ini.

“Keadaan cuaca turut menyumbang kepada isu itu dimana operasi penerbangan mereka terjejas khususnya di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Sandakan dan Kota Kinabalu. Mavcom menerima antara 60 hingga 80 aduan setiap bulan daripada penumpang AirAsia dan lebih 90 peratus aduan berkenaan sudah diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI