PETALING JAYA: Universiti Utara Malaysia (UUM) harus bertanggungjawab membuat siasatan dan menyediakan laporan telus berkaitan insiden pelajar, S. Vinosiny Sivakumar yang ditemukan mati di bilik asrama universiti tersebut.
Penaung Kedah Sepakat, Nor Miswary Ramli berkata, sebarang maklumat dan hasil siasatan perlu didedahkan tanpa kompromi.
“UUM digesa melakukan siasatan terperinci, adil dan telus serta memaklumkan hasil laporan tersebut kepada ibu bapa dan keluarga mangsa dengan segera.
“Cubaan melindungi atau menyembunyikan sebarang maklumat jika ada, hanya akan memburukkan lagi keadaan. UUM juga disaran mengemas kini perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelajar tahun dua perakaunan itu ditemukan mati di dalam bilik asramanya, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik pada Sabtu lalu.

Menurut Nor Miswary, pengurusan UUM perlu mengambil kira dan menyediakan sokongan emosi kepada keluarga mangsa yang masih trauma dan bersedih atas kejadian itu.
“Saya menggesa pihak UUM supaya menyediakan bantuan sokongan dengan memberikan khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan keluarga mangsa.
“Semua hasil laporan perlu didedahkan kepada umum dan dijadikan panduan kepada pihak UUM untuk mengenal pasti serta menyediakan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang,” ujarnya. – UTUSAN