TAIPING: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menghantar pasukan melakukan pengesahan audit halal selepas loji sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia disahkan melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya.
Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan, telah menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu.
Katanya, Jakim mengesahkan hasil audit mengejut yang dijalankan SICHMA mendapati loji sembelihan TFI melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya.
“Pada pada 13 Mei lalu, kita telah membatalkan dan menghentikan loji penyembelihan terbabit sebelum perkara itu disahkan oleh SICHMA.
“Sebaik sahaja perkara itu disahkan hari ini, semua produk keluaran dari loji itu tidak lagi akan diterima atau dibawa masuk ke dalam pasaran Malaysia,” katanya selepas Program Hari Raya Asnaf di sini hari ini.
Berhubung produk dari loji TFI yang masih berada di pasaran, Idris berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut.
“Jakim turut menghantar pasukan melakukan pengesahan audit halal di SICHMA dan loji-loji penyembelihan yang berkaitan dalam membekalkan bekalan daging ke pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat ini.
“JAKIM tidak akan berkompromi dan memandang serius isu halal haram dan sekiranya terdapat maklumat yang dilaporkan, maka pihaknya akan menjalankan siasatan dengan segera.
“’The Hood Man’ yang mendedahkan maklumat mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di pusat penyembelihan terbabit adalah satu langkah yang tepat,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, SICHMA mengesahkan rumah sembelihan TFI di Australia melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.
TFI turut membekalkan daging kambing ke Malaysia.
SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan mengesahkan perkara itu selepas badan tersebut menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu. – UTUSAN