PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada semua wartawan dan pengamal media di negara ini.
Penghargaan itu dizahirkan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang disambut pada 29 Mei.
“Selamat Hari Wartawan Nasional kepada wartawan dan pengamal media.
“Suara Jelata, Aspirasi Negara. Jumpa petang ini di Melaka,” katanya melalui akaun media sosial miliknya.
Antara perkara yang bakal menjadi tumpuan pada sambutan perayaan terbesar khusus untuk pengamal media itu tahun ini ialah Deklarasi Melaka yang menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara.
Majlis itu juga menyaksikan penghormatan diberikan kepada wartawan profesional, individu dan organisasi menerusi Anugerah Hawana 2022.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
Kali pertama Hari Wartawan Nasional diadakan adalah pada 11 April 2018, tahun sama akhbar Utusan Melayu menyambut ulang tahun ke-80.
Pada 30 November 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – UTUSAN










