PUTRAJAYA: Semangat Keluarga Malaysia dilihat bukan sahaja dipamerkan di Malaysia, tetapi juga di luar negara.
Situasi itu sekali gus memberi satu kebanggaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan apa yang turut dilihat di London.
Perdana Menteri sempat meluangkan masa kira-kira tiga jam bersama-sama Keluarga Malaysia yang menetap di London semasa majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, inilah impiannya untuk melihat rakyat Malaysia sebagai satu keluarga besar yang kita panggil keluarga Malaysia.
Jelasnya, kehadiran mereka mengujakan dan beliau bangga melihat hubungan erat antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama bukan sahaja dalam kalangan penuntut, pekerja Malaysia tetapi juga dalam kalangan Keluarga Malaysia di kota ini.
“Seronok dapat bertemu mereka, Keluarga Malaysia yang berada di perantauan. Juadah yang disediakan seenak makanan di Malaysia, menghilang rasa rindu mereka terhadap kampung halaman.
“Walaupun berada di perantauan, jangan lupa asal usul kita dan semoga hari raya ini dimanfaatkan sebaiknya oleh seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Perdana Menteri tiba di London semalam sebelum meneruskan perjalanan ke Washington, Amerika Syarikat untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat.
Di sana, beliau berkunjung ke pameran ‘Tenun Pahang: Weaving Hope’ bagi memperkenalkan produk tenunan tempatan ke persada antarabangsa.
Beliau sebelum itu menghadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang berada di London bagi pameran yang julung kali diadakan itu.
Pameran Tenun Pahang Diraja bermula semalam diadakan selama seminggu sehingga Ahad ini antara lain memperagakan tenunan dari penjara, yang menampilkan tenunan tradisional lengkap dengan penenun bertugas, fabrik arkib dari Muzium Pahang dan pilihan pakaian Tunku Azizah sendiri, selain koleksi Tenun peribadi. – UTUSAN










