industri pelancongan

Industri pelancongan belum sedia laksana gaji minimum RM1,500

Hotel mungkin perlu memikirkan kaedah lain seperti khidmat layan diri bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pelancongan kecewa dengan tindakan Kementerian Sumber Manusia yang menetapkan tiada penundaan dalam semua sektor ekonomi bagi pelaksanaan Pe­rintah Gaji Minimum (PGM) 2022 dengan kadar RM1,500.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, industri pelancongan dan hotel terjejas teruk susulan perintah sekatan perjalanan dan penutupan sempadan akibat Covid-19 dua tahun lalu.

Menurut beliau, pihaknya sudah tentu memerlukan masa terutamanya untuk pemulihan kerana gaji kepada pekerja juga melibatkan kos yang besar.

“Kami kecewa dan terkejut sebab Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sudah buat kenyataan akhbar katakan industri pelancongan dan hotel tak terlibat dengan kenaikan dan mungkin ditangguhkan.

“Tetapi apabila keluar warta, tiada pengecualian, jadi kenapa menteri boleh buat pengumuman (sebelum ini) sedangkan perkara itu tak berlaku.

“Sebelum ini sudah minta tangguh sehingga Disember 2023 sebab kita jangka hotel belum pulih sepenuhnya. Jika dipertimbangkan, kenaikan pa­da 2023 itu baru dapat dianggarkan pulih semula sebab ini melibatkan kos yang besar.

“Gaji adalah kos tertinggi yang melibatkan lebih kurang 30 hingga 40 peratus daripada kos operasi, maka jika diberi penangguhan dapatlah sikit bernafas supaya ada lebihan kewangan untuk teruskan perniagaan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam sidang akhbar pada 13 April lalu, Saravanan dipetik berkata, kadar baharu itu mengecualikan sektor tidak formal dan sektor yang mengalami kerugian akibat impak ekonomi daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pengecualian itu diberi susulan permintaan Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Saravanan dalam satu kenyataan kelmarin dipetik berkata, tiada penundaan seperti dinyatakan sebelum ini kerana kerajaan telah memberi bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan Covid-19 seperti Program Subsidi Upah yang berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan sekali gus memastikan pekerja-pekerja mendapat manfaat daripada peningkatan gaji minimum.

Shaharuddin berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula perkara itu de­ngan memberikan pengecualian sekurang-kurang setahun kepada sektor yang terjejas teruk terutamanya industri pelanco­ngan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN