KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak dua tahun dan ibunya cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah van dipandu seorang lelaki warga asing yang membuat pusingan U secara tiba-tiba di Kilometer 59.7 Lebuhraya Senai-Desaru, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.55 petang melibatkan sebuah kereta jenis Honda HRV dipandu seorang wanita berumur 29 tahun dengan sebuah van jenis Ford Econovan dipandu lelaki Myanmar berusia 33 tahun.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu van dari arah Desaru membuat pusingan U secara tiba-tiba dan menyebabkan pemandu kereta dari arah Senai tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian tengah sebelah kiri van.
“Pemandu van yang selesai membuat kerja pemotongan rumput di kawasan itu membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan kerana hendak bergerak ke Kilometer 60 lebuh raya itu bagi meneruskan kerja terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu kereta mengalami kecederaan bengkak di mulut, lebam di tangan kiri dan kanan manakala anaknya calar di bahagian pipi hingga ke dahi sebelah kiri serta lebam mata kiri.
Pemandu van terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah peraturan 13 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Terdahulu tular di laman Facebook rakaman video kemalangan tersebut berdurasi 32 saat yang mana rata-rata warganet marah dengan tindakan pemandu van itu.
Selain itu, mereka mempersoal keadaan lebuh raya berkenaan yang mempunyai jalan dua hala tidak seperti lebuh raya lain serta tol yang mahal dikenakan kepada pengguna. – UTUSAN










