KUALA LUMPUR: Data peribadi melibatkan berjuta-juta akaun peminjam yang berstatus hutang lapuk dengan empat bank di negara ini dipercayai sengaja dibocorkan kepada pihak ketiga.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, kebocoran data itu berlaku apabila bank-bank terbabit menjual akaun tersebut dengan harga lebih RM1,000 setiap satu kepada pihak ketiga, iaitu syarikat yang membeli hutang lapuk.
“Terlalu banyak, berjuta-juta akaun. Dahulu benda ini tak terjadi, penjualan ini bermula pada 2019. Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 menyatakan informasi kepada pihak ketiga ini tak sepatutnya berlaku tetapi ini dilanggar,” katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia dekat sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, maklumat peribadi yang dibocorkan itu membolehkan syarikat yang membeli hutang lapuk mengganggu peminjam termasuk menyita barangan dalam rumah dan mengunci pagar kediaman.
“Kebocoran maklumat membolehkan pemungut hutang ‘mengejar’ peminjam hingga ke pejabat dan ada kes pekerja dimarahi bos dan diberhentikan oleh majikan kerana dikatakan mencemar imej syarikat dengan tidak membayar hutang,” katanya.
Hutang lapuk
Menurut Rosland, pihaknya turut menerima aduan, akaun bersatus hutang lapuk terus berlaku kenaikan kadar faedah terkumpul sedangkan mengikut Akta Had Masa 1953 apabila akaun tertunggak selama enam tahun dan tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak bank, ia secara automatik terbatal.
“Bila akaun dijual, kadar faedah terkumpul sepatutnya sudah tidak meningkat lagi, ini naik melampau-lampau sehingga ada hutang naik sehingga RM1.7 juta sedangkan apabila tiga bulan kita bertekak dengan pemungut hutang, akhirnya yang perlu dibayar hanya RM15,000.
“Bank Negara Malaysia (BNM) tidak boleh lepas tangan dan berdiam diri sebaliknya harus serius menangani masalah ini kerana ia mengawal setiap permasalahan hutang piutang. Lagipun hutang ini asalnya daripada bank walaupun syarikat yang membeli bukan bank,” katanya.
Tambah beliau, isu lain yang dibangkitkan oleh peminjam ialah bank telah melakukan kesilapan apabila membuat penjualan tanpa memberikan notis kepada mereka bagi memaklumkan akaun hutang lapuk telah dijual kepada pihak ketiga.
“Peminjam terkejut kerana pinjaman dibuat dengan bank tetapi tiba-tiba pihak ketiga yang tiada kaitan dengan bank menuntut hutang dengan tekanan yang diterima sangat membebankan hidup mereka,” katanya.- UTUSAN











