BUTTERWORTH: Pandemik Covid-19 menjadi batu loncatan buat usahawan Family Loteng Toys, Zabidi Zainol Abidin, 41, dari Permatang Tok Gelam, Penaga dekat sini untuk meraih mata pencarian.
Menurut Zabidi, dia dan dua lagi adik-beradiknya yang juga pemilik perniagaan itu tidak menyangka percubaan memasarkan permainan kawalan jauh (RC) melalui platform e-dagang mendapat sambutan di luar jangka.
“Kami mulakan dengan memasarkan kereta RC seperti ‘drift’, ‘construction’ dan ‘buggy’ ketika pertengahan 2020 kerana berpendapat orang ramai tidak dapat keluar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun, kami tidak menyangka strategi yang digunakan itu mendatangkan hasil apabila jualan melonjak sehingga memaksa kami menambah bilangan produk dari 40 buah kereta RC kepada hampir 150 buah,” katanya ketika ditemui di premis Family Loteng Toys baru-baru ini.
Zabidi yang bekerja di sektor swasta berkata, selain menjual permainan RC di platform e-dagang, terdapat pelanggan dari wilayah utara seperti Kedah dan Perlis datang sendiri ke gudang mini milik keluarganya di Jalan Permatang Tok Gelam di sini.
“Ketika itu memang tiada kedai. Stok produk mainan kami simpan dalam gudang mini milik adik bongsu, Zulkarnain, 39.
“Boleh dikatakan kehadiran pelanggan memang ramai mendorong kami membuka kedai yang lebih teratur bagi memudahkan pelanggan di sini pada Februari tahun lepas,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik lelaki.
Sementara itu, seorang lagi pemilik perniagaan yang juga abang sulung, Zulkifli, 44, berkata, biarpun usaha mereka di pandang sinis, namun mereka mengambil pendekatan tidak terlalu memikirkannya.
“Ada yang persoal selama mana kami boleh bertahan memandangkan kedai mainan ini terletak di luar bandar, tapi kami fikir perkara itu hanyalah cakap-cakap biasa,” katanya yang bekerja di sektor perkilangan. – UTUSAN










