PETALING JAYA: Salah faham tentang kehilangan beg sandang menjadi punca pergaduhan dua lelaki di rumah di Bukit Antarabangsa dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah malam itu, kedua-dua lelaki berkenaan dilaporkan cedera.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan polis yang ke lokasi kejadian mendapati lapan lelaki sedang bertengkar dan dua daripadanya cedera.
Kata beliau, kesemua individu berusia 20 hingga 25 tahun itu ditahan dan dibawa ke balai polis Hulu Klang untuk tindakan lanjut.
“Punca kejadian adalah salah faham berkenaan kehilangan beg sandang.
“Ketika perbincangan berlaku pergaduhan antara kumpulan lelaki terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, kata Mohamad Farouk, tiga suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin bagi membantu siasatan.
“Baki lima lagi lelaki diberi jamin polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN










