Hilal gagal penuhi syarat, Syawal kali ini 30 hari - Utusan Malaysia

Hilal gagal penuhi syarat, Syawal kali ini 30 hari

PROSES cerapan hilal dilakukan setiap akhir bulan hijri melibatkan 29 lokasi ditetapkan di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia masih lagi dalam suasana lebaran apabila anak bulan Zulkaedah gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah, sekali gus Syawal kali ini genap 30 hari.

Perkara tersebut disahkan pakar rujuk falak ternama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hanafiah Abd. Razak ketika dihubungi bagi mengulas tarikh permulaan 1 Zulkaedah.

“Ya, alhamdulillah, pada tahun ini Syawal digenapkan cukup selama 30 hari manakala awal bulan baharu bagi Zulkaedah ditetapkan bermula pada 1 Jun 2022,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa negeri mengesahkan hilal Zulkaedah didapati belum ijtimak atau lahir ketika matahari terbenam pada senja 29 Syawal atau 30 Mei, antaranya ialah Jabatan Mufti Pulau Pinang berdasarkan cerapan yang dilakukan di Pusat Falak Sheikh Tahir, berdekatan Balik Pulau iaitu kedudukan titik paling barat di negeri berkenaan.

Jabatan Mufti Selangor turut melaksanakan proses cerapan anak bulan di Balai Cerap Selangor, berhampiran Sungai Besar iaitu lokasi paling barat di negeri tersebut selain Jabatan Mufti Melaka menerusi infografik data hilal Zulkaedah daripada Balai Cerap Al-Khawarizmi menyatakan bulan terbenam dahulu dan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Penentuan tarikh awal bulan hijri diukur berdasarkan kaedah baharu imkanur rukyah atau penampakan anak bulan yang mula rasmi digunakan di negara ini pada 9 Ogos tahun lepas dan menurut penetapan itu, ketinggian bulan mesti tidak kurang daripada tiga darjah sementara jarak lengkung antara bulan dan matahari di ufuk adalah tidak lebih enam darjah empat minit.

Awal bulan ini, seluruh negara tergamam apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Hari Raya Aidilfitri jatuh sehari awal pada 2 Mei dan ia mencetuskan suasana kelam-kabut dalam kalangan umat Islam yang menjangka tarikh berkenaan jatuh pada 3 Mei seperti tertera menerusi takwim sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya