Hijrah pekerja mahir Malaysia ke Singapura perlu dihentikan - Utusan Malaysia

Hijrah pekerja mahir Malaysia ke Singapura perlu dihentikan

johor
Hasni Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Usaha menghalang pekerja berkemahiran tempatan berhijrah ke  luar negara termasuk Singapura boleh dilakukan  melalui polisi menyeluruh yang memberi fokus terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi negara.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, langkah itu perlu disegerakan kerana perkembangan menunjukkan terdapat peningkatan mendadak berhubung penghijrahan pekerja tempatan ke luar negara.

Menurut beliau, peningkatan mendadak sejak lebih tiga dekad lalu itu perlu dihentikan terutamanya melibatkan penghijrahan  rakyat Johor ke Singapura.

“Antara inisiatif boleh diambil adalah melalui kerjasama yang lebih baik dan koheren antara koridor ekonomi di Johor seperti Iskandar Malaysia (IM), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dan juga Zon Ekonomi Khas Pagoh (PSEZ).

“Terdapat beberapa elemen yang boleh ditumpukan penggubal dasar untuk meningkatkan gaji dan peluang kerja dengan melaksanakan dasar yang menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran di Malaysia dan terus meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan daya saing perniagaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Buruh asing

Pengerusi UMNO Johor itu memberitahu, langkah lain adalah dengan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah yang memesongkan gaji keseluruhan, melonjakkan produktiviti pekerja melalui pembangunan modal insan dan peningkatan diri melalui peluang kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

“Usaha itu juga termasuk meningkatkan infrastruktur, termasuk akses dan kualiti pengangkutan awam dan mempercepatkan pembaharuan politik dan institusi untuk kestabilan politik dan ekonomi serta kemampanan dasar,” ujarnya.

Kata  beliau, Singapura menjadi pilihan utama bagi pekerja dari Johor dan Malaysia kerana kedudukannya dari segi geografi dan budaya, serta infrastruktur dan ekonomi republik itu yang lebih maju secara keseluruhannya.

“Sebab utama penghijrahan itu juga kerana gaji dan faedah kurang menarik yang ditawarkan di Malaysia, kekurangan prospek kerjaya, dan ketiadaan peluang dalam bidang tertentu.

“Justeru, Malaysia dan Johor perlu secara agresif memberi tumpuan meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan secara holistik,” jelasnya.

Hasni berkata, statistik bilangan pekerja Malaysia ke Singapura menunjukkan peningkatan daripada 195,072 orang pada tahun 1990 kepada 952,261 orang pada 2019.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya