HFMD meningkat 24 kali ganda dalam lima bulan

HFMD meningkat 24 kali ganda dalam lima bulan

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 57,510 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan dalam tempoh 1 Januari tahun ini sehingga semalam, dengan dua kanak-kanak mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah tersebut merekodkan peningkatan sebanyak 24 kali ganda berbanding 2,333 kes yang dicatatkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 semasa pandemik.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya dibandingkan dengan tempoh masa yang sama bagi tahun 2019, peningkatan kes pada tahun 2022 adalah sebanyak 27,664 kes iaitu hampir sekali ganda.

“Peningkatan kes mula melebihi paras waspada iaitu 878 pada 13 hingga 19 Mac apabila sebanyak 895 kes dilaporkan. Kes HFMD semakin meningkat sehingga melebihi paras amaran iaitu 1215 pada 3 hingga 9 April apabila sebanyak 1,653 kes dilaporkan. 

“Peningkatan kes ketara berlaku sejak April 2022 berikutan pembukaan aktiviti sosial, termasuk sesi kehadiran penuh sekolah, taska, tadika dan tabika. Selain itu, kebersihan diri yang tidak terjaga terutama amalan mencuci tangan, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan berlakunya jangkitan HFMD.

“Peningkatan kes ini semakin memuncak pada ME20/2022 dan ME21/2022 disebabkan oleh aktiviti sosial semasa sambutan Hari Raya. Sehingga kini, bilangan kes mingguan terus meningkat dengan julat kes dilaporkan antara 1,500 ke 15,000 seminggu atau 300 hingga 2,000 kes sehari,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini. 

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kes paling banyak dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu 52,846 kes atau 92 peratus, manakala kumpulan umur 7 hingga 12 tahun adalah seramai 3,741 kes atau 7 peratus. 

Ujarnya, tiga negeri yang menyumbang kepada bilangan wabak tertinggi adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 479 kes atau 34.9 peratus, Selangor dengan 161 kes (11.8 pertatus) serta Perak 151 kes (11 peratus).

“Daripada 1,370 wabak yang dilaporkan, sebanyak 832 wabak atau 61 peratus berlaku di Taska, tadika, tabika dan pra-sekolah,  482 wabak atau 35 peratus berlaku di rumah persendirian dan 45 wabak atau 3 peratus berlaku di pusat jagaan,” ujarnya. 

Bagi dua kanak-kanak yang mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan ICU, Khairy berkata, kanak-kanak pertama telah beransur pulih dan tidak memerlukan bantuan pernafasan lagi, namun masih dipantau di ICU, manakala kes kedua masih lagi memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

Beliau menambah, langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi HFMD telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seperti pemeriksaan premis, penutupan premis, basmi kuman premis, persampelan klinikal, pendidikan kesihatan dan sesi townhall meeting (THM). 

Katanya, aktiviti yang dijalankan semasa THM merangkumi ceramah berkaitan penyakit HFMD dan peranan yang perlu diambil oleh agensi bagi menangani peningkatan kes HFMD di Malaysia. 

“Kementerian Kesihatan menasihati semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika untuk sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak; membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD dan kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya. 

“Selain itu, semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain; sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit termasuk penyakit Covid-19. 

“Seterusnya, memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN