MELAKA: Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang disambut setiap 29 Mei perlu dijadikan agenda nasional demi mengangkat profesion kewartawanan dalam membantu proses pembangunan negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Hawana tidak sepatutnya menjadi hari sambutan biasa, sebaliknya keraian dalam melahirkan pelbagai resolusi yang memandu ke arah memapankan dunia kewartawanan.
“Saya tidak mahu Hawana 2022 ini menjadi satu lip service atau sambutan Hari Ibu, Hari Bapa, sebaliknya ia lebih daripada itu.
“Hawana ini boleh melahirkan beberapa resolusi-resolusi baharu yang dapat memandu arah bagaimana kita dapat mengangkat kewartawanan dan peranan para wartawan dalam proses pembangunan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Forum Media Nasional di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, sehubungan itu, kerajaan juga akan memberikan sokongan penuh bagi membentuk sinergi kedua-dua belah pihak.
“Kita tidak mahulah lepaskan tanggungjawab ini kepada persatuan, mesti ada satu bentuk sinergi antara kerajaan terutama sekali daripada segi kemudahan.
“Kita juga boleh memberikan beberapa insentif permulaan supaya dunia kewartawanan dapat diperbaiki, ia bukanlah tanggungjawab satu pihak tetapi secara kolektif,” katanya. – UTUSAN










