PETALING JAYA: Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Bandar Bersejarah Melaka bermula hari ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan petugas media membantu membangunkan dan mengukuhkan perpaduan negara.
Sambutan dua hari bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ dipenuhi dengan pelbagai pengisian di samping dihadiri para pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hawana 2022 membuka tirainya dengan semua petugas media diraikan pada majlis makan malam anjuran kerajaan negeri dan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Esok, Perdana Menteri akan merasmikan Majlis Kemuncak Hawana 2022 di Hotel Hatten kira-kira pukul 2.30 petang yang dijangka dihadiri lebih 700 pengamal media tempatan serta dari beberapa negara ASEAN.
Jawatankuasa Publisiti dan Promosi Hawana 2022 menerusi kenyataan sebelum memaklumkan, pada majlis yang turut dihadiri wartawan dari beberapa negara ASEAN itu, Ismail Sabri dijadual menyampaikan ucapan perasmiannya pada pukul 2.30 petang.
Menurut kenyataan itu, antara perkara yang bakal menjadi tumpuan pada sambutan perayaan terbesar khusus untuk pengamal media itu tahun ini ialah Deklarasi Melaka yang menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara.
Majlis itu juga menyaksikan penghormatan diberikan kepada wartawan profesional, individu dan organisasi menerusi Anugerah Hawana 2022.
“Pemilihan dibuat terhadap penerima yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya yang dihasilkan,” menurut kenyataan itu.
Pada sebelah pagi, Forum Media Nasional diadakan sebagai platform bagi ketua pengarang dan tokoh media termasuk Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar bagi berbincang mengenai kepentingan masa depan industri media, terutama apabila berhadapan perubahan teknologi serta persekitaran yang semakin mencabar.
Annuar dijangka merasmikan majlis penutup forum berkenaan. – UTUSAN