Harimau 'serang' Kemensah Height, usaha jejak giat dilakukan - Utusan Malaysia

Harimau ‘serang’ Kemensah Height, usaha jejak giat dilakukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha menjejak seekor harimau giat dilakukan pihak berkuasa di kawasan Kemensah Height, Hulu Klang dekat sini hari ini.

Usaha berkenaan dilakukan Jabatan Perhilitan Selangor kira-kira pukul 4 petang tadi susulan maklumat tular mengenai penemuan harimau berkenaan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, setakat ini, tiada sebarang jejak ditemukan memandangkan maklumat yang diperoleh tidak lengkap.

Kata beliau, ia kerana tiada sebarang laporan diterima bersabit insiden itu dan tiada saksi mata yang tampil untuk memberikan keterangan.

“Hari ini telah tular satu maklumat di laman sosial WhatsApp mengenai satu kejadian orang awam terserempak seekor harimau.

“Pihak kita telah ke tempat kejadian untuk menyiasat dakwaan terbabit pukul 12.45 tengah malam tadi dan pihak penduduk setempat dimaklumkan oleh pengawal keselamatan mengatakan terserempak seekor harimau berdekatan sebatang tiang lampu jalan di Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Height,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan lanjut mendapati keselamatan yang didakwa terlihat harimau ini dikatakan seorang warga asing dan merupakan pengawal sementara di kawasan kejiranan terbabit.

Jelas beliau, tiada maklumat lanjut diperoleh berkaitan pengawal terbabit dan sehingga kini belum dapat dikesan.

“Namun begitu, pihak polis Ampang Jaya juga telah mengambil tindakan mempertingkatkan rondaan sekitar tempat kejadian bagi menjamin keselamatan penduduk,” jelasnya.

Dalam pada itu, jelas Mohamed Farouk, pihak Zoo Negara juga telah mengesahkan tiada kes harimau terlepas dari zoo berkenaan.

“Pihak Polis juga menyeru orang ramai yang melihat atau tahu tentang maklumat ini agar tampil untuk memberikan kerjasama. Masyarakat diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang belum disahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya