dapat bantuan

Hari raya keluarga Nur Rizan ‘bercahaya’, rumah uzur dibaikpulih

MOHD. Hairi Mad Shah (kiri) ketika meninjau rumah Nur Rizan Aman di Lorong Setia, Jalan Rahmat Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sambutan Aidilfitri pada tahun ini menjadi lebih bermakna buat Nur Rizan Aman, 46, bersama empat orang anaknya yang menerima pelbagai bantuan daripada orang perseorangan mahupun agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Nur Rizan berkata, mereka tidak lagi hidup bergelap seperti tiga tahun dahulu atau perlu meminta ihsan jiran bagi mendapatkan bekalan elektrik setelah Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasang bekalan terus ke rumah.

Bukan itu sahaja, katanya, rumah kecil yang didiami dalam keadaan uzur di Lorong Setia, Jalan Rahmat Kampung Melayu Majidee, di sini juga dalam proses baik pulih.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah ada datang melawat kami sekeluarga bagi meninjau keadaan selain menyampaikan sumbangan.

“Kehadirannya turut membawa sekumpulan sukarelawan Southern Volunteers (SV) yang membantu membersihkan rumah kami. Pertolongan mereka sangat bererti kerana saya tak mampu buat kerja berat.

“Sejak kisah kami tersiar di dada akhbar, banyak pihak yang tampil menghulurkan bantuan atas dasar simpati. Kami sekeluarga amat bersyukur atas pemberian ini, hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pada 18 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan jerih-perih yang dilalui wanita itu bagi membolehkan anak-anaknya cukup makan dan menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Nur Rizan berkata, sejak dari itu, dia menerima banyak bantuan barangan dapur, makanan kering, barangan elektrik, barangan keperluan dan makanan basah untuk mereka sekeluarga.

Katanya, anak-anaknya sangat bersyukur dengan pemberian semua pihak terlibat yang meringankan kos perbelanjaan harian mereka.

Tambahnya, ada juga pihak yang memberi bantuan dengan membelikan baju raya untuk anak-anak selain memberikan kuih-muih untuk Aidilfitri.

“Saya amat bersyukur kerana merasakan kehidupan kami bertambah baik, anak bongsu, Muhammad Syafiq Haziq Mohamad Zamri juga sudah kembali bersekolah dan tak perlu lagi berkongsi uniform dengan abangnya.

“Ramai juga yang menghulurkan sumbangan terus ke akaun bank saya dan anak, Siti Aisyah sebelum ini. Duit itu saya tak sentuh kerana itu untuk kegunaan Siti Aisyah yang sedang melanjutkan pengajian sekarang ini.

“Motosikal saya yang rosak sebelum ini juga sudah dibaiki dan boleh digunakan.

“Ramai juga yang membantu mencari pekerjaan untuk saya, Insya-Allah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti akan mula bekerja,” katanya.

Siti Aisyah juga akan kembali ke kampus Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gambang, Pahang pada 12 Mei ini bagi menyambung pengajian yang sebelum ini diadakan secara dalam talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN