MELAKA: Hanya 23 daripada 70 permohonan geran di bawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE) bernilai RM1 juta telah diluluskan Jawatankuasa Penilaian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Melaka setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam berkata, sebanyak 44 permohonan pula telah disyorkan lulus oleh Jawatankuasa Penilaian Ibu Pejabat RoS, manakala 21 lagi akan dipertimbangkan dalam mesyuarat penilaian tidak lama lagi.
“Sebanyak 19 permohonan lagi berada dalam status inkuiri bagi membolehkan persatuan membuat pembetulan atau mengemas kini butiran yang tidak lengkap.
“Tujuh lagi permohonan telah ditolak kerana cadangan program yang dikemukakan tidak selari dengan objektif pemberian MyICE ditetapkan kerajaan.
“Saya mengharapkan lebih banyak lagi persatuan penduduk dan NGO di negeri ini untuk tampil memohon geran sebanyak RM10,000. Ambillah peluang ini untuk memohon peruntukan tersebut kerana masih ada ruang kuota sebanyak 100 persatuan masih belum dipenuhi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Perasmian Penutup Taklimat dan Penyampaian Replika Cek Geran MyICE di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah RoS negeri, Nurhafidah Ali berkata, tarikh permohonan yang sepatutnya tutup pada 31 Mei ini kini dilanjutkan bagi memberi lebih peluang persatuan memohon geran tersebut.
“Permohonan yang dikemukakan perlu mematuhi beberapa syarat antaranya menghantar laporan penyata tahunan sehingga tahun 2020, menghantar laporan lengkap bagi geran yang diterima daripada RoS pada tahun-tahun sebelum, tiada aduan salah laku dan sebagainya,” katanya.- UTUSAN