Hamzah dedah Zuraida tidak aktif dalam parti, kerap ponteng mesyuarat

Hamzah dedah Zuraida tidak aktif dalam parti, kerap ponteng mesyuarat

HAMZAH Zainudin bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menggunakan parti untuk kepentingan peribadi, tidak pernah hadir mesyuarat dan tidak begitu aktif dalam gerak kerja parti. 

Itu pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap kedudukan sebenar Datuk Zuraida Kamaruddin dalam parti itu. 

Hamzah berkata, Zuraida dilihat tidak begitu aktif di dalam parti, malah mula menunjukkan ‘warna sebenar’ apabila tidak menghadiri lebih enam mesyuarat yang dianjurkan parti itu termasuk mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). 

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen Ampang itu jelas menunjukkan yang dia tidak pedulikan parti, sebaliknya menggunakan parti ini untuk kepentingan peribadi. 

“Bersatu beri peluang kepada semua bukan sahaja Zuraida dan apa yang penting bila dah jadi ahli mereka perlu ikut segala agenda parti. 

“Kalau dia kata tidak tahu apa agenda parti, jawapannya memang tidak tahu sebab mesyuarat MPT pun dia tidak hadir. Segala agenda dan isu akan dibawa dalam mesyuarat MPT, tapi dia yang tidak hadir,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini. 

Katanya, disebabkan itu, parti membuat keputusan untuk melucutkan jawatannya sebagai ahli MPT dan keputusan itu dibuat dua minggu lalu.

Hamzah berkata, perkara itu diputuskan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. 

Menurutnya, pihaknya bagaimanapun belum memaklumkan perkara itu kepada beliau kerana mahu menunggu maklum balas surat daripada Ahli Parlimen Ampang itu mengenai kedudukannya dalam parti. 

“Pada 9 Mei lalu, saya menghantar surat kepada Zuraida untuk meminta dia menjawab beberapa persoalan kerana kita dapati beliau dilihat muncul dalam aktiviti anjuran Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

“Pada Isnin lalu, Zuraida menyatakan beliau masih lagi ahli Bersatu dan meminta pihak parti menyertakan bukti tuduhan beliau ada menyertai mana-mana parti politik di negara ini. 

“Bagaimanapun, hari ini Zuraida memaklumkan beliau sudah menyertai PBM, jadi kita fahamlah bahawa dia ingin keluar parti Bersatu,” katanya. 

Zuraida hari ini mengumumkan keluar daripada Bersatu bagi menyertai PBM. –UTUSAN 

 

HAMZAH Zainudin beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2022 di Putrajaya. – UTUSAN/

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya