PETALING JAYA: Keputusan Tabung Haji tidak membenarkan individu yang menghidap penyakit kronik menunaikan haji bukan bersifat diskriminasi, sebaliknya ia adalah realiti yang perlu diterima apabila di tanah suci.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan, jika seseorang jemaah tiba-tiba jatuh sakit kerana penyakit kronik yang dihadapi, jemaah itu berkemungkinan besar tidak akan mendapat bantuan perubatan yang sewajarnya.
Katanya, walaupun perkhidmatan doktor disediakan di sana, mereka hanya akan merawat penyakit biasa berbanding penyakit kronik.
“Di Arab Saudi, hospital pun penuh, kemudahan juga terhad apabila tiba musim haji. Memang kita bawa doktor, tapi mereka cuma merawat sakit common sahaja, bukan sakit kronik.
“Saya dulu pun pernah kena, itulah suasana di sana, tetapi Tabung Haji tidak mendiskriminasi sesiapa,” katanya ketika dihubungi.
Justeru, katanya, Tabung Haji sekadar mahu menjaga kualiti dan imejnya sebagai institusi yang berkuasa terhadap pengurusan haji.
“Dulu, masa zaman sebelum Covid-19 pun Tabung Haji tidak bagi jemaah yang tidak sihat pergi ke Mekah dan prosedur operasi standard (SOP) mereka diiktiraf oleh Arab Saudi, jadi kita perlu hormati keputusan mereka sebagai badan berautoriti,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan hanya 45 daripada 85 jemaah di Perlis yang ditawarkan ke tanah suci berjaya melepasi saringan kesihatan ditetapkan itu susulan untuk ke sana memerlukan mereka bebas daripada penyakit kronik seperti obesiti, menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi tidak terkawal.
Arab Saudi juga sudah menetapkan syarat-syarat tertentu seperti jemaah mesti berumur bawah 65 tahun dan mengambil vaksin penuh, ia bermaksud seseorang itu perlu bebas daripada penyakit yang membawa kepada komplikasi. – UTUSAN










