Guru tunjang penting ekosistem pendidikan

Guru tunjang penting ekosistem pendidikan

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Guru memainkan peranan tunjang penting dalam ekosistem pendidikan bagi menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara, kata Datuk Dr. Radzi Jidin. 

Menteri Kanan (Pendidikan) itu berkata, guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid, malah berusaha memastikan murid mempunyai sahsiah yang baik serta daya saing yang tinggi. 

Beliau berkata, ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah. 

“Selamat meraikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang ke-51 pada 16 Mei 2022. Sambutan saban tahun ini merupakan acara simbolik bagi menghargai jasa dan pengorbanan insan mulia yang bergelar guru. 

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Guru esok. 

Terdahulu, sambutan Hari Guru tahun ini bertemakan ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ bagi menghargai komitmen dan peranan yang dimainkan guru selama ini. 

Menurut Radzi, penerapan elemen ‘Sejahtera’ yang dilaksanakan oleh guru dapat disampaikan melalui pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah secara langsung atau tidak langsung.

Jelas beliau, dalam menjayakan konsep tersebut, peranan guru bukan hanya tertumpu menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi guru juga membimbing murid untuk membentuk keperibadian unggul. 

“Saya yakin dan percaya, generasi yang dilahirkan oleh guru-guru ini bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara. 

“Jasa bakti guru amat disanjung tinggi. Guru merupakan seorang ikon penting yang diamanahkan untuk mendidik, mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid yang berkeperibadian unggul,” ujarnya. 

Melalui penghayatan tema Hari Guru tahun ini, Radzi mengharapkan para guru dan pendidik untuk terus meningkatkan usaha membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi. 

Jelas beliau, penerapan elemen ‘Sejahtera’ secara semulajadi sejak dari peringkat awal persekolahan tentunya akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya akan diwarisi oleh generasi pewaris negara yang berikutnya. 

“Semoga guru dan pendidik sekalian terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara. Ayuh, laksanakan amanah ini dengan jujur, ikhlas dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya